SHAH ALAM - Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menegur Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan supaya tidak 'pukul rata' orang Melayu-Islam dengan perbuatan individu yang melakukan kesalahan susulan kenyataannya bahawa salah laku atau penyelewengan seolah-olah tidak menjadi isu sekiranya dilakukan oleh orang Melayu-Islam.
Mohd Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu berkata, sebarang kesalahan perlu dilihat berdasarkan perbuatan individu terbabit dan tidak wajar dikaitkan dengan keseluruhan masyarakat Melayu hanya kerana pelakunya berbangsa Melayu.
"Jangan 'generalize', YB Hulu Langat. Kalau ada individu yang salah, ambil tindakan terhadap individu tersebut. Jangan kerana perbuatan seseorang, kamu pukul rata Melayu-Islam sebegitu.
"Salah tetap salah. Hukum pelakunya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Terdahulu, Mohd Radzi turut mencelah dan menegaskan kenyataan tersebut merupakan tuduhan yang terlalu umum serta meminta Sany menarik balik kenyataannya kerana perbuatan tidak baik boleh dilakukan oleh mana-mana individu tanpa mengira kaum.
Teguran itu dibuat susulan celahan Sany ketika Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari mengambil bahagian dalam perbahasan mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat.
Sebelum itu, Sany ketika mencelah berkata terdapat pihak yang melakukan perbuatan seperti mencuri, merompak atau mengambil wang rakyat, namun perkara itu didakwanya tidak menjadi masalah selagi pelakunya Melayu dan beragama Islam.
“Tak apalah dia nak curi, dia nak rompak ke, dia nak samun, dia nak sakau. Yang penting, yang ambil duit itu Melayu! Melayu! Melayu! Tak apa, ambillah lagi.
“Curilah lagi. Rompaklah lagi. Yang penting Melayu dan juga Islam. Sebab dalam negara kita ni, Melayu dia boleh rompak, dia boleh curi, dia boleh sakau, dia boleh menekadarah duit rakyat dalam negara kita ni.
"Janji Melayu, janji Islam, tak ada masalah. Yang tak boleh, China dengan India, tak boleh. Melayu curi, rompaklah harta rakyat dalam negara kita," kata Mohd Sany di Dewan Rakyat.